Sepasang kekasih muda, Alia dan Amir sedang menuntut di institut pengajian tinggi. Mereka akrab semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Mereka beranggapan cinta mereka suci dan berharap dapat mendirikan rumah tangga apabila tamat pengajian kelak. Namun semakin lama, hubungan mereka semakin membuahkan rasa rindu yang sukar dikawal, terutamanya di pihak Alia. Alia semakin hilang tumpuan dalam pelajaran.
Saban harii, Alia menghubungi Amir. Tindakan ini menyebabkan Amir yang tekun belajar menjadi tidak selesa dan terganggu. Amir mencari waktu yang sesuai lalu bertanya kepada Alia...
"Awak nampak pasangan-pasangan yang duduk rapat dan saling berpegangan tangan di sana itu?"
Amir menunjuk ke arah pasangan-pasangan yang duduk melepak dalam kawasan kolej. Tercengang Alia sambil menatap wajah Amir. Aneh pula soalan Amir kali ini. Mahu tidak mahu dia menjawab..
"Mereka itu berpegang-pegang tangan, kita ini dikira baik kerana kita hanya duduk-duduk sahaja."
"Sebenarnya, tidak ada bezanya antara kita dengan mereka yang berpegangan tangan itu. Kita menyarungkan perkara yang tidak baik dengan memakaikan nilai Islam kepadanya. Kita membiarkan zina beraja dalam hati kita. "
Amir sedaya upaya menjelaskan keadaan tidak diterima oleh syarak, yang sudah berlaku antara dia dan Alia sekian lama. Alia masih kurang faham maksud kata-kata Amir. Alia terus bertanya...
"Jadi, apa maksud awak? Apa yang patut kita lakukan?"
"Maafkan saya. Kita tidak mempunyai pilihan lain. Melainkan, kita hentikan hubungan setakat ini sahaja. Apabila ada jodoh kita di kemudian hari, kita usahakan dengan cara yang Allah tetapkan. Saya meminta maaf sekali lagi kerana selama ini membiarkan awak menyukai saya tanpa berusaha menghindari keadaan yang tidak dibenarkan."
Perlahan Amir bangun dan berlalu pergi, tanpa menoleh kepada Alia.
"Astagfirullahal'azim."


No comments:
Post a Comment